Cereka Norma Baru: Aku dan WFH : Bahagian 1

Cereka Norma Baru: Aku dan WFH : Bahagian 1

Alhamdulillah, selesai sudah Wazif membalun nasi goreng telur mata di sebuah kedai mamak berhampiran pejabat tempat dia bekerja. Rakan-rakannya juga selesai membuat ucapan penggulungan topik perbualan mereka sebentar tadi. “Jom Zif, solat,” sahut rakan sekerjanya, Azhar memanggilnya untuk solat di surau di tempat kerja mereka sebelum masuk ke pejabat untuk menyelesaikan tanggungjawab mereka untuk hari itu. Setelah selesai solat, mereka pun kembali ke pejabat.

Ketika menghampiri pejabat, bunyi riuh rendah dapat kedengaran jelas. “Apa yang kecoh-kecoh itu?,” tanya Wazif kebingungngan. “Tak tahulah. Mari kita tengok,” cadang Azhar. Mereka mempercepatkan langkah. Sampai sahaja di pintu, terdengar satu suara. “Esok kita dah tak kerja kat pejabat,” rupanya suara Minah sedang berbual dengan Munah. Mereka duduk bersebelahan. Suara Minah pula memang kuat dan lantang. “Habis, bagaimana dengan cara kita nak bekerja di rumah? Setiap pagi, aku selalu hantar laporan harian kepada bos. Kalau kerja dari rumah, bagaimana aku nak hantar?” tanya Munah. Belum sempat Minah menjawab, Wazif mencelah. “Apa yang kecoh-kecoh ni? Kerja dari rumah?” “Iya, kita akan bekerja dari rumah esok. Petang ini akan diadakan mesyuarat tergempar mengenai hal ini,” jawab Minah.

Habis mensyuarat, barulah mereka semua faham situasi sebenarnya yang dihadapi syarikat. Bukan sahaja syarikat mereka yang mengalami situasi ini, bahkan seluruh masyarakat Malaysia.

Sebelum mesyuarat tergempar sebentar tadi telah diadakan siaran langsung perutusan dari Perdana Menteri Malaysia berkenaan situasi Covid-19 di negara kita. Menurut perutusan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mewajibkan pihak industri melaksanakan amalan bekerja dari rumah bagi semua kakitangan pengurusan dan penyeliaan dan hanya 10 peratus daripada jumlah tersebut boleh berada di pejabat. Memandangkan kebanyakan daripada pekerja-pekerja di pejabat itu adalah dalam bidang pengurusan, Ketua Pegawai Eksekutif kami, Encik Ramlan berpendapat bahawa adalah lebih baik semua pekerja-pekerjanya kerja dari rumah bagi melindungi keselamatan mereka dan membantu kerajaan membendung jangkitan jangkitan Covid-19 di negara kita.

“Wah, kita akan kerja dari rumah mulai esok, Zif,” sapa Azhar. “Itulah, ini perkara baru bagi kita,” kata Wazif.

Sekembalinya Wazif ke kubikelnya, dia terduduk diam. Ini perkara baru baginya dan bagi semua rakan-rakannya. Mujurlah, di zaman teknologi ini, Wazif dan rakan-rakan tidak asing lagi berkomunikasi dengan mel elektronik(email) dan sistem pesanan dalam talian(online messaging). Dia terbayang-bayang bagaimana agaknya keadaan bila bekerja di rumah nanti.

Waktu kerja pun tamat buat hari itu. “Zif, aku balik dulu. Jumpa esok. haha!” Azhar cuba melawak menceriakan Wazif yang nampak runsing mengenangkan hari-hari mendatang. Wazif sibuk mengemas, mengambil buku-buku dan dokumen-dokumen penting untuk dibawa pulang. Selama berkhidmat 5 tahun di syarikat itu, pasti dia akan merindui kubikel itu. Baginya, pejabatnya itu sudah diibaratkan rumah kedua baginya. Setelah siap, Wazif pun berangkat untuk balik. Dia sempat merenung ke arah kubikel rakan-rakan sekerja yang lain. Kelibat mereka sudah tidak kelihatan lagi kerana kebanyakan mereka telah pulang kerumah masing-masing.

Hari esok, hari baru buat Wazif dan rakan-rakan dalam mendepani Covid-19 sebagai seorang pekerja. Bagaimana Wazif menghadapinya esok? Bagaimana pula penerimaan Zahra, isterinya nanti? Pastinya norma baru ini memberikan satu pengalaman sejarah dalam hidup Wazif, Zahra, rakan-rakan mereka dan seluruh masyarakat Malaysia di mana jua mereka berada.

Leave a Reply