Cereka Norma Baru: Aku dan WFH: Bahagian 2

Cereka Norma Baru: Aku dan WFH: Bahagian 2

“Tetttt….” bunyi pintu pagar di hadapan rumah Wazif. Pagar dibuka menggunakan alat kawalan jauh. Dia lega kerana sudah selamat sampai ke rumah. Kelibat dan riuh rendah kanak-kanak kecil tidak kelihatan. Suasana agak sunyi. Wazif dan Zahra telah berkahwin selama 5 tahun tetapi masih belum dikurniakan zuriat.

“Assalamualaikum!” Wazif memberi salam sambil membuka pintu dengan sebentuk kunci.

“Waalaikum salam, abang ya. Masuk-masuk. Saya kat dapur.” jawab Zahra sambil mengalu-alukan kepulangan suaminya. Tangannya masih memegang senduk. Tidak sempat untuk menyambut suaminya di ruang tamu. Memang sudah menjadi kebiasaan, Zahra akan menyiapkan makan malam lewat petang begini. Langit pula sudah kelihatan kekuning-kuningan.

“Lain macam bau ni. Macam sedap.” Wazif menegur isterinya didapur sambil cuba menghidu bau masakan isterinya itu. “Mintak sikit!” gurau Wazif. “Hey, belum siap lagilah!” Ditepuknya tangan suaminya itu. “Abang duduklah dulu. Sejekap lagi kita makan. Air dah ada kat atas meja makan.” Wazif pun pergi ke meja makan sambil tersenyum. Mereka memang mesra. Si Wazif pula suka bergurau. Walaupun belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata, mereka bersyukur kerana masih bahagia sehingga ke saat ini.

……..

Selesai makan malam sambil menanti waktu Magrib, Wazif mula membuka cerita. “Mulai esok, semua orang tidak boleh keluar rumah untuk mengawal penularan Covid-19 ini. Jadi, pengurus tempat kerja abang buat keputusan semua pekerjanya kerja dari rumah. Semua urusan akan dilaksanakan dalam talian.” “Semua macam tu ke bang?” Zahra cuba mencari kepastian. “Iya, semua industri terjejas dan terpaksa mengikut SOP(standard operating procedure) ketat yang telah ditetapkan kerajaan.” jawab Wazif. “Kalau begitu, tidak mengapalah. Kita ada bilik yang kita jarang pakai. Bolehlah abang buat kerja disitu. Nanti lepas Isyak, saya tolong abang kemas bilik tu ya? Kita kemas sama-sama.” Zahra cuba mencadang bagi membantu suaminya untuk kerja dari rumah dalam keadaan yang selesa dan baik. “Kalau begitu, baiklah, selepas Isyak nanti, kita kemas bilik itu sama-sama.” Wazif berasa lega dan gembira.

Setelah Isyak, mereka pun mulakan kerja-kerja mengemas. Dalam bilik tersebut, ada sebuah meja membaca dan sebuah kerusi plastik. Amat sesuai untuk dijadikan tempat bekerja. Bilik itu tampak berhabuk. Kalau disapu meja itu dengan tangan dan bertepuk-tepuk tangan, akan kelihatan jelas bertaburan habuk jatuh ke lantai. Mereka pun mengangkat dan menyusun meja dan kerusi ke kedudukan yang selesa. Zahra mengambil penyapu berbulu ayam untuk membuang habuk-habuk dan dilap meja dan kerusi itu dengan kain lembab. Wazif pula sibuk menyapu sampah supaya kelihatan bersih.

“Abang ada internet ke nanti?” sambil menyapu-nyapu habuk, terlintas difikiran Zahra untuk menanyakan tentang internet.

Leave a Reply